03 Februari 2011

Isu-isu Pendidikan Bahasa Melayu (Bahagian 2)

2. Isu Perkaedahan

Prof. Dr. Awang Sariyan

Isu perkaedahan dalam pendidikan bahasa berkaitan rapat dengan isu falsafah tentang apa dan mengapa yang telah dibincangkan dalam bahagian pertama makalah. Isu perkaedahan ini berkaitan dengan persoalan bagaimana bahasa diperoleh. Golongan mentalis sebenarnya tidak pernah menganjurkan sebarang kaedah pendidikan bahasa yang formal, tetapi ahli-ahli pedagogi mengambil inspirasi daripada falsafah mentalisme dengan menekankan penguasaan rumus-rumus bahasa, khususnya tatabahasa.

Dalam pendidikan bahasa yang beroreintasikan mentalisme, memang tatabahasalah yang menjadi pusat perhatian pendidik, dengan harapan anak didik akan mencapai penguasaaan bahasa penutur jati yang unggul, iaitu yang menguasai rumus-rumus ternurani bagi bahasa itu.

Kaedah yang tergambar daripada orientasi itu ialah pengajaran bahasa secara formal dan deduktif, dengan pengenalan rumus bahasa, huraiannya dan latihan untuk mengukuhkan penguasaan rumus itu. Pengajaran dan pemelajaran menjadi agak kaku, kering dan serius, sehingga bagi kebanyakan pelajar, pelajaran bahasa menjadi seakan-akan suatu bentuk hukuman atau penyiksaan daripada sesuatu yang menyeronokkan, kecuali bagi pelajar peringkat tinggi yang berfikiran analitis dan kritis dan yang tujuannya belajar bahasa untuk meningkatkan ilmu bahasanya.

Sebagai penerapan rumus, pelajar diberi penekanan dalam karang-mengarang dengan tumpuannya pada penggunaan bahasa yang baik dan teratur. Kegiatan lisan agak minimum dalam kaedah pengajaran yang bersumberkan falsafah mentalisme. Namun, pada hemat saya, keadaan sedemikian bukanlah semestinya yang patut berlaku kerana ahli mentalisme tidak menyarankan kaedah begitu. Barangkali ahli pedagogi yang terlalu taksub akan aliran itulah yang menyalahtafsirkannya.

Ahli pedagogi yang bersumberkan falsafah behaviourisme pula menekankan kaedah pengajaran yang dapat membentuk kebiasaaan berbahasa yang alamiah dalam kalangan anak didik. Bahasa yang alamiah bagi mereka ialah bahasa pertuturan yang digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Penekanan diberikan lebih pada aspek lisan, sesuai dengan slogan behaviouris bahawa “Bahasa ialah pertuturan”. Rumus-rumus bahasa tidak diajarkan secara formal tetapi melalui proses pelaziman atau pembiasaan pola-pola, lumrahnya melalui latih tubi. Pola kebiasaan berbahasa meliputi unsur-unsur linguistik yang bermula dengan unsur terkecil, iaitu bunyi, kemudian morfem dan kata, frasa, klausa dan ayat.

Kaedah yang membedah bahasa kepada unsur-unsur itu didasarkan pada linguistik struktural yang melihat bahasa sebagai binaan pada aras-aras tertentu, daripada yang terkecil hingga yang terbesar. Konsep bahasa sebagai wacana tidak diterapkan dalam kaedah ini kerana ayat dianggap sebagai unit terbesar oleh ahli bahasa struktural. Antara kaedah yang bernaung di bawah pendekatan behaviouris/strukturalis termasuklah kaedah tentera, kaedah terus, kaedah dengar ajuk, kaedah fonik dan kaedah induktif.

Kaedah yang terbit daripada falsafah fungsionalisme pula ialah kaedah komunikatif yang menitikberatkan penguasaan pelbagai ragam dan laras bahasa untuk disesuaikan dengan konteks komunikasi dalam sistem sosial. Proses pendidikan bahasa berfokus pada bentuk-bentuk komunikasi yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat, seperti ucapan, undangan, penerimaan, penghargaan, tahniah, kaedah menarik perhatian, menyoal, meminta, menghindari, mengkritik, menegur, mengadu, mengarahkan, mendakwa, menafikan, menyetujui, membantah, mendesak, menyarankan, melaporkan, menilai, mohon maaf, memberikan alasan dan sebagainya. Asasnya ialah tujuh fungsi utama bahasa sebagaimana yang digariskan oleh Halliday, iaitu fungsi instrumental, fungsi pengaturan, fungsi pewakilan, fungsi interaksi, fungsi persendirian, fungsi heuristik dan fungsi imaginatif.

Pendidik sekali lagi diingatkan supaya tidak terjebak oleh jenama dan label. Pendidik bahasa perlu bersikap eklektik, iaitu memilih dan memadukan mana-mana kaedah yang wajar dan sesuai dengan sesuatu keperluan dan suasana pengajaran dan pemelajaran. Pengenalan rumus bahasa tetap penting sebagai asas penguasaan sistem bahasa yang mantap tetapi tidak semestinya sentiasa diperkenalkan secara formal dan deduktif.

Pelaziman pula dapat digunakan sebagai salah satu kaedah tetapi bukan satu-satunya kaedah untuk memandaikan anak didik menguasai bahasa. Perlu diingat bahawa setiap manusia yang normal mempunyai potensi bahasa yang normal juga, dan potensi itu dapat digilap serta dikembangkan dengan pelbagai cara yang kreatif. Sesungguhnya kita bukan mengisi tempayan yang kosong kerana Alat Pemerolehan Bahasa telah dikurniakan Tuhan kepada setiap manusia yang normal sebelum ia lahir ke dunia lagi. Tambahan pula akal manusia bersifat kreatif dan inovatif sehingga dapat mengembangkan apa-apa sahaja maklumat bahasa yang disampaikan, sama ada melalui proses terjemahan, taakulan, tafsiran, analogi, peluasan dan bahasan.

Oleh itu, kepercayaan bahawa manusia berbahasa berdasarkan peniruan satu perangkat kebiasaan berbahasa ternyata jauh daripada kebenaran. Pengenalan pelbagai bentuk bahasa yang dapat memenuhi keperluan komunikasi dalam masyarakat pula memang merupakan keperluan dalam pendidikan bahasa. Namun penguasaan pelbagai ragam bahasa menurut konteks sosial semata-mata dengan pengabaian sistem bahasa tidak mungkin melahirkan pengguna bahasa yang faham akan bahasa sebagai sistem yang kompleks tetapi pada waktu yang sama penuh dengan adab dan aturan. Bahasa sebaik-baiknya digunakan dengan kesedaran akan adanya rumus dan sistem yang melatarinya, bukan sekadar penzahiran maklumat, idea dan perasaan semata-mata sebagaimana yang barangkali disalahfahami oleh sebilangan pengikut fungsionalisme.

Gagasan yang ingin saya tegaskan ialah bahawa usahlah mana-mana pendidik bahasa berpegang pada satu-satu kaedah secara tegar sehingga tidak bersedia membuka pintu hatinya kepada kaedah lain yang wajar dan sesuai. Kaedah hanyalah cara, sama sahaja analoginya dengan jalan yang mungkin sahaja lebih daripada satu untuk sampai ke destinasi yang tertentu. Yang penting ialah destinasinya, sementara jalan hanyalah wasilah atau cara untuk sampai ke destinasi.

Pendidikan bahasa bermatlamat menjadikan pengguna bahasa tahu menggunakan bahasa untuk berfikir dan berkomunikasi, dengan berasaskan suatu sistem yang teratur (tatabahasa, ucapan, tulisan), melalui empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) dalam konteks keperluan dan situasi yang berbagai-bagai. Maka kaedah bersepadu yang menggabungjalinkan sistem bahasa dengan kemahiran bahasa dan isi serta konteks bahasa semestinya dijadikan landasan yang praktis.

Di Malaysia, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah yang dilaksanakan sejak 1987 merupakan upaya untuk memenuhi kaedah pendidikan bahasa yang unggul dan praktis serta tidak cenderung memihak mana-mana kaedah atas asas jenama. Demikian juga pelaksanaan pendidikan bahasa yang bersepadu di Singapura pada hemat saya dapat memenuhi konsep kaedah pendidikan bahasa yang sewajarnya. Diharapkan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang kelak disusuli oleh KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) dilaksanakan sebagai upaya peningkatan kurikulum bersepadu yang telah berlangsung sejak tahun 1987.


~Kembara Bahasa~
31 Januari 2011
SUMBER :

Tiada ulasan:

BERITA HARI INI

Loading...