03 Februari 2011

Isu-isu Pendidikan Bahasa Melayu (Bahagian 3)

Prof. Dr. Awang Sariyan
Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Beijing Foreign Studies University

3. Isu Sistem Bahasa

Isu yang hingga kini masih menyelubungi minda sejumlah pendidik bahasa Melayu berkaitan dengan isu sistem bahasa, ialah kemantapan beberapa aspek bahasa yang menyentuh tatabahasa, kosa kata, ejaan dan sebutan. Isu yang lebih besar daripada itu ialah kurang jelasnya sebilangan pendidik tentang diglosia yang seharusnya menjadi kayu ukur dalam penentuan ketepatan berbahasa menurut konteks. Percampurbauran antara bentuk bahasa yang rasmi dengan yang basahan, baik dalam hal kosa kata, tatabahasa dan sebutan masih menjadi fenomena yang agak nyata.

Pada saat kita memperkatakan bahasa yang baik, timbul polemik tentang bahasa yang alamiah yang kononnya tidak perlu tertakluk pada rumus-rumus bahasa, yang malangnya kadang-kadang dikaitkan dengan tohmahan bahawa rumus-rumus bahasa itu dikhayalkan oleh ahli bahasa, bukan daripada realiti penggunaan bahasa. Masalah yang dihadapi oleh sesetengah pendidik dan pelajar ialah tidak dapat membuat garis pemisah yang jelas antara bentuk bahasa yang rasmi dengan bahasa yang basahan atau tidak rasmi. Tentulah dalam konteks bahasa yang basahan, seperti dalam perbualan, tidak terterap sepenuhnya segala rumus bahasa seperti tatabahasa dan sebutan baku.

Namun dalam bidang-bidang yang rasmi, profesional, ilmiah dan berkaitan dengan budaya tinggi, kod bahasa yang patut dipilih ialah yang mewakili kod “bahasa terbina”, bukan kod “bahasa terhad” (daripada istilah "elaborated code" dan "restricted code" yang diperkenalkan oleh Bernstein seperti yang telah dijelaskan dalam bahagian yang lebih awal).

Maka itu, kedengaran di sana sini orang yang masih mempersoalkan rumus tatabahasa yang berkaitan dengan binaan ayat aktif, ayat pasif, ayat majmuk dan sebagainya. Masih banyak ayat yang tidak keruan binaannya oleh subjek dan predikatnya tidak padu, seperti ayat yang berbunyi "Menurut Kementerian Sains dan Alam Sekitar menyatakan bahawa banyak sungai yang telah tercemar".

Masih terdapat di sana sini penggunaan ayat pasif yang bercampur aduk antara yang menerapkan rumus ayat pasif diri pertama dan diri kedua dengan rumus ayat pasif diri ketiga. Ayat pasif diri ketiga seperti "Perkara yang mereka bincangkan mendapat sambutan penonton." seakan-akan tidak dapat dikesan kesilapan rumus sintaksisnya sebagaimana masih agak leluasa juga orang mengungkapkan ayat pasif diri pertama seperti "Buku yang dibincangkan oleh kami itu penting sebagai asas pegangan hidup." yang jelas tidak memenuhi rumus sintaksis bahasa Melayu baku.

Masih juga nyaring suara tentang kekeliruan penggunaan imbuhan yang betul, seperti dalam hal imbuhan apitan "me-…-kan" dan "me-…-i" dan yang lain. Masih ada yang tidak dapat membedakan makna "mengirimkan" daripada "mengirimi", "menghadiahkan" daripada "menghadiahi" dan contoh-contoh lain yang sejenis dengannya. Masih nyata kekeliruan bilakah akhiran "-kan" perlu atau tidak perlu digunakan dalam contoh seperti "isikan borang ini" atau "isi borang ini", "tuliskan ringkasan karangan" atau "tulis ringkasan karangan", "berikan pendapat" atau "beri pendapat".

Dalam hal penggunaan kata berimbuhan yang lain, masih agak nyata kekeliruan tentang penggunaan variasi awalan "me-", iaitu sama ada "me-", "mem-", "men-", "meng-" atau "menge-". Maka berterusan isu kekeliruan adakah bentuk yang betul "memastikan
atau "mempastikan", "mencintai" atau "menyintai", "mewujudkan" atau "mengwujudkan", "meyakinkan" atau "menyakinkan" dan sekian banyak yang lain lagi.

Apabila dijelaskan bahawa bentuk kata terbitan yang betul ialah "berbahaya", bukan "merbahaya" (kerana tiada awalan "mer-" yang diimbuhkan pada kata "bahaya"), masih banyak orang yang ragu dan tidak faham akan alasannya. Tidak kurang juga yang terus keliru dengan mengatakan bahawa bentuk kata "pemelajaran" menyalahi rumus morfofonem bahasa Melayu kerana bunyi /b/ dalam kata "belajar" tidak patut dan tidak pernah dilenyapkan apabila menerima awalan "pe-", walhal kata "pemelajaran" terbit daripada kata kerja "mempelajari" yang sama sahaja polanya dengan bentuk "pemerhatian" (daripada kata kerja "memperhatikan"), "pemersatuan" (daripada kata kerja "mempersatukan"), "pemerolehan" (daripada kata kerja "memperoleh") dan beberapa patah kata lain yang menerima awalan rangkap "pemeR-", sebagai kata nama terbitan daripada kata kerja berawalan rangkap "mempeR-".

Ketiadaan atau kurang sedarnya sesetengah orang tentang konsep bahasa rasmi dan bahasa basahan turut menyebabkan timbul perbalahan tentang sebutan baku. Orang yang tidak melihat bahasa sebagai sistem yang bertatatingkat, iaitu menganggap bahasa setara belaka dalam semua hal, berasa pelik bin ajaib apabila diberi penegasan tentang perlunya sebutan baku digunakan. Seakan-akan tidak disedarinya bahawa sebutan baku itu ditegaskan penggunaannya dalam laras bahasa yang rasmi, bukan dalam perbualan, hatta dalam mimpi. Semua bahasa yang maju memiliki ragam sebutan formalnya, yang memang tidak sama betul dengan ragam sebutan bahasa sehari-hari.

Demikian juga, apabila ditekankan penggunaan kosa kata yang terpilih, sesuai dengan konteks rasmi, ada sesetengah kalangan yang beranggapan bahawa saran itu sama sekali tidak alamiah dan tidak praktis kerana kata-kata yang ‘terlarang’ itu lazim digunakan dalam perbualan sehari-hari. Maka ada orang yang mengatakan bahawa larangan penggunaan kata seperti "bikin" bagi "buat" sebagai perbuatan orang yang mengada-ngada. Orang seperti itu ternyata tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana kamus dalam semua bahasa besar menetapkan, atau sekurang-kurangnya memberikan panduan tentang penggunaan kata yang rasmi, yang baku, yang basahan, yang larangan dan sebagainya. Dalam kamus bahasa Inggeris, hal sebegitu ternyata cukup diberi perhatian. Demkian juga dalam kamus bahasa Melayu yang baik.

Dalam pada itu, tetap saya akui bahawa memang ada beberapa aspek khusus yang belum mencapai tahap kebakuan yang tinggi. Hal ini tidak berlaku dalam bahasa Melayu sahaja, misalnya dalam hal kosa kata dan beberapa bentuk binaan kata terbitan dengan menggunakan imbuhan. Tentang kosa kata, memang mudah kita terjebak oleh fahaman sama ada bersikap tulen melulu atau terbuka melulu. Pada dasarnya kita perlu mengutamakan kosa kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu, atau melakukan inovasi dengan menggunakan sistem morfologi bahasa Melayu. Bagi kata yang tiada padanan dalam bahasa Melayu, dibolehkan kita mencipta bentuk yang baru dengan mengambil bentuk asal kata itu tetapi diubahsuaikan menurut sistem sebutan dan morfologi bahasa Melayu.

Oleh sebab adanya beberapa aspek sistem bahasa Melayu yang belum mantap betul dan masih memerlukan ijtihad ahli-ahli bahasa, lalu terdapatlah pandangan yang berbeda dalam kalangan ahli bahasa, maka dibesar-besarkan orang perihal isu mazhab yang kononnya menyukarkan guru mengajar dan murid belajar bahasa. Dalam buku kecil "Penjelasan Isu Mazhab dalam Bahasa" (1996), saya telah membuktikan bahawa peratusan aspek bahasa yang belum seragam betul itu tidaklah besar dan dalam sesetengah aspek, seperti ejaan di bawah 0.1%.

Ada pula yang mengatakan bahawa perubahan daripada tatabahasa Za`ba menjadikan bahasa Melayu terlalu moden dan oleh itu sukar dipelajari dan diajarkan. Telah saya tunjukkan juga dalam beberapa banyak tulisan saya bahawa rumus bahasa yang dikemukakan oleh Za`ba sebahagian besarnya masih dipertahankan, tetapi mungkin dengan istilah yang berlainan, misalnya "ayat bangun membuat" menjadi "ayat aktif", "ayat bangun kena buat" menjadi "ayat pasif". Perubahan istilah itu sama sekali tidak mengubah rumus atau aturan yang dikemukakan oleh Za`ba. Sebilangan orang yang membesar-besarkan isu itu rupanya tidak pula mematuhi rumus bahasa Za`ba dan hanya memainkan sentimen bergantung pada nama besar beliau, tetapi sebaliknya menyimpang daripada tatabahasa susunan Za'ba.

Maka itu, amat penting para pendidik mempunyai kekuatan penguasaan sistem bahasa untuk diterapkan dalam pengajaran bahasa kepada anak didik. Sesudah lebih setengah abad sistem pendidikan kita berlangsung di negara yang merdeka, sewajarnya aspek-aspek asas sistem bahasa telah mantap. Tidak sewajarnya timbul lagi ajaran sesat di sesetengah sekolah seperti "Kata 'kerana', 'dengan', 'untuk' dan sebagainya tidak boleh digunakan di pangkal ayat". Dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tidak timbul masalah salah faham yang sedemikian berat sehingga mengatakan kata tugas seperti "with, to, because" dan lain-lain menyalahi tatabahasa.

Demikian juga, anak didik perlu dimantapkan penguasaan sistem bahasanya dan perlu senantiasa disedarkan tentang pentingnya menguasai ragam bahasa rasmi di sisi ragam bahasa basahan supaya mereka dapat menggunakan bahasa yang sesuai menurut konteks.

~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 2 Februari 2011
sumber : http://www.facebook.com/profile.php?ref=profile&id=667161165#!/notes/kembara-bahasa/isu-isu-pendidikan-bahasa-melayu-bahagian-3/197239750286657

3 ulasan:

Bersama Motivator Anda berkata...

Ramlee Wahab
Petikan: Tidak sewajarnya timbul lagi ajaran sesat di sesetengah sekolah seperti "Kata 'kerana', 'dengan', 'untuk' dan sebagainya tidak boleh digunakan di pangkal ayat". Dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tidak timbul masalah sal...ah faham yang sedemikian berat sehingga mengatakan kata tugas seperti "with, to, because" dan lain-lain menyalahi tatabahasa.
Dalam bahasa Inggeris memang boleh dan diperbolehkan menggunakan kata tugas 'With', 'To', 'Because' seperti berikut:
1. With that, I'd like to end my speech today....
2. To reiterate further my statement....
3. Becuse the number of participants si quite overwhelming....
Kesimpulan:
Keterbukaan kita terhadap penggunaan bahasa Melayu akan lebih menyemarakkan penggunaannya secara bebas dan terbuka, tidak terikat sehingg menyukarkan kita untuk memperkembangkan buahfikir/idea yang sbenarnya bertitik-tolak daripada perkataan-perkataan tersebut kita memperolehi idea-idea baru dan progresif...terima kasih Prof.Dr...!

Bersama Motivator Anda berkata...

Kembara Bahasa RW: Sebenarnya tiada isu tatabahasa tentang penggunaan kata tugas di pangkal ayat, selama kata tugas itu menjadi bahagian frasa atau klausa yang menjadi adjung atau bahagian tambahan ayat, dan ayat induk (yang lengkap subjek dan predikatnya) wujud dengan utuh. Yang jadi isu hanya kerana ada salah faham sesetengah orang kononnya ayat tidak boleh bermula dengan kata tugas, walhal dalam semua bahasa hal itu wujud.

Bersama Motivator Anda berkata...

Nik Nor Ahmarizam
Prof., kesantunan bahasa Melayu begitu indah dan menarik untuk dibicarakan melalui laman sosial ini. Benar sekali pendapat Prof. bahawa pemahaman jitu pengguna bahasa Melayu dalam pembinaan konstituen yang cukup ampuh sewajarnya dikuasai ol...eh pencinta bahasa Melayu. Sebagai contohnya:
1. Kerana demam, adik tidak ke sekolah semalam.
2. Untuk menyelesaikan perkara itu, semua pihak diingatkan agar mengemukakan pendapat masing-masing.
3. Sudah bersidai baju Hayani di jemuran.
4. (Kita) bersatu (kita) teguh, (kita) bercerai (kita) roboh.
5. Yang bijak dan santun itu anak murid saya.

BERITA HARI INI

Loading...