03 April 2009

BUKU TEKS

Sumber : Laman Web Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran

Konsep
Buku teks dibina menggunakan pendekatan secara menyeluruh bagi memastikan wujudnya kesepaduan antara kandungan, persembahan, bahan grafik, bahasa dan istilah serta aktiviti dan latihan.

Ciri - ciri Buku Teks

Ciri-ciri buku teks adalah seperti berikut:

Buku teks ditulis berasaskan Bidang Pembelajaran dan Hasil Pembelajaran seperti yang terdapat di dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

Buku teks mengandungi pengetahuan dan kemahiran serta pembelajaran melalui pengalaman yang mengandungi penggabungjalinan antara teori dan praktikal.

Buku teks menekankan pelbagai aktiviti dan latihan serta amali.

Buku teks mengandungi bahan grafik yang berfungsi, sesuai dan menarik.

Buku teks merangsang murid membaca dan berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) serta kemahiran berfikir strategi berfikir (KBSB)

Buku teks memupuk nilai murni dan sikap positif, budaya kerja yang relevan dan menerapkan unsur-unsur patriotisme

Buku teks menitikberatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).


Organisasi Buku Teks
Buku teks terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Bahagian Awalan.
Bahagian Isi Kandungan.
Bahagian Akhiran.

Perkara Penting Dalam Penulisan Buku Teks
Kandungan

Buku teks mengandungi kandungan yang berasaskan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

Skop dan kedalaman isi pelajaran hendaklah sesuai mengikut kandungan dan peruntukan waktu di dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

Fakta mestilah betul, tepat, terkini, dan tekal.

Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran Berfikir Strategi berfikir (KBSB) harus menjadi satu landasan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya daya imaginasi dapat dijana dan diperkembangkan.

Persembahan
Persembahan bahan ialah cara mengolah bahan penulisan dalam menyampaikan isi pelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran. Persembahan bahan hendaklah:

Berasaskan prinsip pengajaran dan pembelajaran, iaitu mudah kepada sukar.

Menggunakan strategi berpusatkan murid (student-centered).

Mudah difahami oleh murid.

Dipelbagaikan serta mempunyai ciri mesra pengguna (user – friendly) dan menarik serta merangsang murid dalam pembelajaran.

Aktiviti
Aktiviti yang disediakan hendaklah :

Dapat mencapai Hasil Pembelajaran yang ditetapkan dalam Huraian Sukatan Pelajaran.

Mengandungi arahan yang jelas, tepat, dan mudah difahami.

Dapat dilaksanakan oleh murid secara individu, berpasangan, atau berkumpulan.

Pelbagai bentuk dan jenis aktiviti untuk mencungkil kebolehan dan melibatkan murid secara aktif.

Mencabar dan menggalakan murid ke arah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Penumpuan terhadap pembelajaran melalui pengalaman dalam aktiviti amali yang dijalankan.

Latihan
Latihan yang disediakan mengandungi arahan yang jelas, tepat dan mudah difahami serta mempunyai pelbagai jenis, iaitu:

Berbentuk soalan peperiksaan awam.

Berbentuk pengukuhan, pengayaan dan penilaian.

Meliputi soalan berpandu dan bebas.

Mengandungi arahan yang jelas, tepat, dan mudah difahami.

Terdapat pemeringkatan daripada mudah kepada sukar dan mencakupi domain kognitif, efektif ,dan psikomotor.

Mencabar dan menggalakkan murid ke arah kemahiran belajar, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Bahan Grafik
Bahan grafik di dalam buku teks hendaklah:

Dapat menyampaikan pengetahuan dan menjelaskan sesuatu konsep dengan betul dan tepat.

Bersesuaian, berfungsi, menarik, kreatif, dan lengkap.

Menarik dan merangsang minat murid ke arah pembelajaran.

Pelbagai bentuk, menarik, dan kreatif.

Mempunyai saiz yang sesuai dengan ruang dan reka letak serta menepati perspektif, dan perkadaran.

Mempunyai kapsyen atau label.

Menggunakan situasi tempatan dan bahan yang hampir dengan persekitaran murid.

Bahasa dan Istilah
Penulisan buku teks ini mestilah menggunakan Bahasa Melayu baku/British English dan merujuk kepada Daftar Istilah bidang berkaitan yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.


Bahasa yang digunakan mudah, jelas, dan ringkas sesuai dengan peringkat murid.


Tatabahasa, tanda baca, struktur ayat serta ejaan mestilah betul dan tepat.


Istilah yang digunakan hendaklah tepat, terkini, dan tekal.

Perkara yang mesti dielakkan

Buku teks tidak boleh mengandungi perkara berikut:
(i)Unsur Sensitif
Unsur yang menimbulkan prasangka dan diskriminasi, menjatuhkan maruah serta merendahkan martabat terhadap kaum, agama, kebudayaan, jantina, usia, dan pekerjaan.

(ii)Unsur Negatif
Melibatkan sikap, pemikiran dan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai murni masyarakat Malaysia.

(iii)Unsur Subversif
Semua perkara yang bertentangan dengan dasar negara.


Komen Penulis:

Para pelajar mesti memanfaatkan sumber yang ada agar sesi pemelajaran anda menepati silibus yang sedia digubal oleh KPM.

Tiada ulasan: