Pengajaran Tatabahasa
Baru-baru ini, beberapa orang guru termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah menanyakan soalan tentang teknik atau cara yang menarik untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat untuk belajar tatabahasa.
Pengenalan
Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya berlaku di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.
Teknik yang Sesuai
Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian, nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Jika ditinjau daripada respons pelajar, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Dengan perkataan lain, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Di samping itu, pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang khusus.
Teknik Nyanyian
Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau dengan menggunakan lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu tersebut. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.
Bahan Lain yang Sesuai
Selain lirik lagu, guru-guru juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek tatabahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, pelajar-pelajar tingkatan 4 boleh menggunakan sajak Harga Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek penggolongan kata, seperti kata nama dan kata kerja. Oleh itu, selain mengkaji aspek sastera dan maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar tatabahasa secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu merancang dan mengkaji aspek tatabahasa yang hendak dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran itu terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya dilakukan di dalam kelas.
Bahan Komsas
Karya-karya komsas selain sajak, iaitu cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan dengan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengatasi masalah kebosanan dan kurangnya minat murid untuk mempelajari tatabahasa.
Bahan Cetakan
Bagi pelajar-pelajar tingkatan 6, guru-guru perlu menggunakan bahan cetakan seperti keratan akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi, secara tidak langsung pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini tidak membosankan pelajar kerana guru telah menetapkan fokus tentang perkara yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks. Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat-ayat yang melibatkan pelbagai aspek tatabahasa. Selain itu, perkara ini juga membuktikan bahawa pengetahuan tatabahasa pelajar dalam Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2 STPM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan