Set induksi memang penting dalam satu-satu pengajaran yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Namun demikian, ada guru yang seolah-olahnya sudah melupakan set induksi ini. Pada hal, set induksi ini telah dipelajari dan dipraktiskan semasa menjalani latihan praktikum sebelum menjadi guru dahulu. Kebiasaannya, guru akan terus membincangkan topik yang hendak diajar tanpa menggunakan set induksi yang bersesuaian dengan topik tersebut. Sebenarnya, set induksi ini penting untuk menarik perhatian pelajar agar menumpukan perhatian terhadap topik atau perkara yang hendak dibincangkan oleh guru di dalam kelas. Sekiranya set induksi tidak digunakan dalam pengajaran, sudah pasti pelajar akan berasa bosan dan kurang memberikan perhatian terhadap pengajaran guru. Oleh itu, guru-guru haruslah menggunakan set induksi yang mudah tetapi menarik perhatian pelajar di dalam kelas.
Antara set induksi yang boleh digunakan adalah seperti gambar, surat khabar, majalah, benda-benda maujud seperti raket badminton, gunting, topi, kopiah, komputer riba, telefon bimbit, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, jika guru-guru hendak membincangkan sajak Tukang Gunting, guru-guru bolehlah menggunakan gunting sebagai set induksinya. Bagi pengajaran sajak Anak Laut, guru boleh menggunakan gambar nelayan atau perahu sebagai set induksinya.
Sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang industri pelancongan, guru-guru boleh menggunakan gambar pantai, atau tempat-tempat percutian di Malaysia, atau lagu 'Cuti-cuti Malaysia'. Gambar pantai
Selain itu, sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang kebaikan dan keburukan kad kredit, guru-guru bolehlah menggunakan kad kredit yang sebenar atau gambar kad kredit.
Gambar kad kredit
Selepas bahan rangsangan yang dijadikan set induksi itu dipaparkan atau ditunjukkan, kemukakanlah beberapa soalan yang berkaitan dengan bahan itu untuk merangsang pemikiran pelajar. Di samping itu, dengan menggunakan set induksi, murid-murid juga akan bersedia dari segi mindanya terhadap isi pelajaran yang akan dibincangkan oleh guru selepas itu Selain bahan rangsangan yang dinyatakan tadi, guru-guru juga boleh mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik perbincangan untuk merangsang mereka terhadap isi pelajaran keseluruhannya.
Guru-guru pula kebiasaannya akan memberikan beberapa alasan tentang sebab mereka tidak menggunakan set induksi semasa pengajaran dijalankan. Antara alasan yang sering diberikan ialah mereka hendak cepat menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi, mereka tiada masa untuk menggunakan set induksi, dan menganggap set induksi itu tidak penting dalam pengajaran Bahasa Melayu. Namun demikian, kita perlu menyedari bahawa kegagalan guru untuk menggunakan set induksi ini pastinya akan menyebabkan pelajar kurang tertarik dan tidak berminat terhadap mata pelajaran yang diajarkan oleh guru.
Seterusnya, perkara ini mungkin akan membunuh minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Oleh itu, kita harus menerima hakikat bahawa set induksi ini akan membantu guru untuk menyedikan minda pelajar bagi mengikuti pelajaran selanjutnya. Jadi, guru-guru tidak harus memandang set induksi ini sebagai perkara yang tidak penting jika hendak menarik minat pelajar untuk menyukai atau meminati mata pelajaran Bahasa Melayu. Jangan terlalu mementingkan sukatan pelajaran atau isi kandungan pelajaran sahaja sehingga menyebabkan pelajar tidak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana, jika pelajar belajar dalam keadaan terpaksa dan tidak menyeronokkan, sudah pastilah kesannya tidak lama. Selanjutnya, pengajaran yang tidak menyeronokkan juga biasanya menyebabkan pengajaran guru menjadi kurang berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan