24 Januari 2011

KAEDAH PENGAJARAN

Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, kaedah adalah merujuk kepada cara atau peraturan membuat sesuatu (terutamanya yang bersistem atau yang biasa). Manakala pengajaran pula adalah perihal mengajar, segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar (seperti cara atau sistem mengajar, aspek yang dipentingkan dan lain-lain yang berkenaan dengannya). Bagi Abd Ghafar Md Din di dalam bukunya bertajuk Prinsip dan Amalan Pengajaran pula, beliau mendefinisikan pengajaran adalah satu proses penyampaian iaitu untuk menyampaikan maklumat. Cara penyampaian maklumat ini dikatakan sebagai kaedah dan teknik pengajaran. Kaedah pula beliau merujuk kepada peringkat dimana suatu teknik pengajaran dipraktikkan.

Terdapat dua perkataan yang hampir sama maksudnya dengan kaedah iaitu teknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Jika guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi kefahaman kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada contoh-contoh yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.

Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Pada anggapan beliau, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran. Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tindakan dan
aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi kefahaman kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain. Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.

MEMILIH KAEDAH PENGAJARAN

Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu. Ia meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan, dan penilaian dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar-pelajar dengan cara yang berkesan.
Perkembangan pendidikan dari masa ke semasa telah membawa banyak perubahan dalam aktiviti pengajaran di dalam kelas. Corak pengajaran masa kini telah mengalami banyak perubahan dan bertambah maju. Pengajaran dalam konteks masa kini boleh ditafsirkan sebagai satu proses, komunikasi, sains dan seni.

Pada umumnya, kaedah ialah cara atau peraturan membuat sesuatu. Ia berbeza dengan pendekatan di mana ia merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran spesifik dalam jangka masa yang pendek. Dengan erti kata lain, kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun. Kaedah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih (Edward M. Anthony, 1963). Huraian ini bermakna kaedah-kaedah yang dipilih untuk proses pengajaran dan pembelajaran harus berdasarkan kepada suatu pendekatan yang berkaitan dengan model, prinsip dan teori pembelajaran.

Kaedah mengajar adalah menjadi teknik mengajar apabila kaedah itu dilaksanakan dengan teknik yang sesuai. Di bawah konteks pendidikan, teknik mengajar boleh ditakrifkan sebagai kemahiran guru digunakan untuk pengelolaan dan perlaksanaan kaedah mengajar dalam
sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, prosedur kaedah bercerita boleh digunakan sebagai teknik menyampaikan sesebuah cerita.

Tujuan memilih berbagai-bagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran adalah untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid supaya mencapai objektif pengajaran guru. Oleh itu teknik pengajaran yang dipilih haruslah berdasarkan kepada umur, kecerdasan, kebolehan dan minat murid. Misalnya menurut kajian Piaget, dalam perkembangan kognitif kanak-kanak yang berumur 6 hingga 11 tahun, teknik mengajar yang sesuai digunakan untuk menyampaikan sesuatu konsep ialah bercerita dan permainan dengan menggunakan pelbagai bahan konkrit.

Sesuatu kaedah pengajaran hendaklah dipilih berasaskan suatu pendekatan. Dalam satu pendekatan pengajaran, boleh digunakan pelbagai kaedah. Contoh dalam pendekatan induktif (iaitu pengajaran yang bermula daripada yang spesifik kepada yang umum), pelbagai kaedah boleh digunakan seperti kaedah projek, kaedah inkuiri, kaedah sokratik, dan kaedah penyelesaian masalah.

Faktor-Faktor Pemilihan Kaedah Pengajaran

Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. Kaedah mestilah sesuai dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. Kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai
3. Kaedah juga haruslah sesuai sifat semulajadi (nature) pelajaran yang diajar
4. Kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. Kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6. Mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah berkenaan
7. Kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang ada

An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.

Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:

1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktiviti tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
5. Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur pencapaian pelajar

Menurut Cangelosi (1992), “Learning goal is the overall purpose of the teaching unit. It indicates what students are expected to learn. Specific objective, define the learning goal. That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire.” (ms. 24). Daripada penjelasan Cangelosi tadi, Perrott (1986) telah menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di samping pengetahuan yang patut ada pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang dikatakan pengajaran yang
berkesan (effective teaching). Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang berdedikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh
semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun
dengan menggunakan ABBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).

“…effective teacher is one who is able to demonstrate the
ability to bring about intended learning goals”. Parrott (1986:5)

Secara praktisnya, terdapat beratus-ratus kaedah pengajaran yang digunakan untuk menyampaikan pelajaran. Biarpun begitu, adalah perlu bagi guru untuk mengetahui bagaimana untuk menentukan proses dan apakah kaedah terbaik yang ingin disampaikan kepada pelajar agar ia mudah difahami juga mudah untuk seseorang pengajar melakukannya. Oleh itu, faktor pemilihan kaedah pengajaran seharusnya diketahui dan diikuti kepada semua pengajar yang ingin memulakan pengajaran. Ini adalah sebagai satu proses pemilihan yang
betul dimana ia akan menjadikan proses penyampaian lebih menarik dan berkesan. Terdapat 5 faktor yang perlu bagi memilih kaedah pengajaran yang sesuai digunakan dalam proses pengajaran iaitu:
1. Objektif pengajaran
2. Bahan pengajaran dan pembelajaran
3. Jangkamasa pengajaran
4. Latar belakang dan jumlah pelajar
5. Iklim dan suasana tempat mengajar

Tiada ulasan:

BERITA HARI INI

Loading...