07 November 2009

PENYATA RAZAK 1956

Jawatankuasa ini meletakkan asas sistem pendidikan Malaysia. Perhatian khusus sekali lagi ditumpukan kepada isu bahasa. "Tujuan akhir dasar pendidikan ini ialah untuk menyatukan budak-budak daripada berlainan bangsa ini di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Walau bagaimanapun kemajuan ke arah ini hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa secara mendadak" (Penyata Razak 1956). Ini bermaksud bahawa bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil dipertahankan di sekolah-sekolah.

Perlembagaan Malaya juga menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu akan digunakan di samping bahasa Inggeris untuk sepuluh tahun sehingga ia dapat menggantikan bahasa Inggeris dalam semua ranah sebagai bahasa rasmi tunggal.

Kedua, jawatankuasa itu juga mengajukan supaya sukatan pelajaran umum diperkenalkan untuk mewujudkan pandangan yang serupa. Amalan lama yang menggunakan buku teks dari negara Cina dan India (Ceylon) untuk masing-masing murid-murid Cina dan India juga hendaklah dihentikan.

Jawatankuasa itu juga mengambil perhatian berat terhadap keperluan untuk "menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan mengekalkan, dan terus memperkembangkan bahasa dan budaya masyarakat lain yang tinggal di negara ini" (Penyata Razak 1956).

Pelaksanaan perakuan jawatankuasa ini agak berjaya dalam kebanyakan hal. Walau bagaimanapun perkembangan Sekolah Kebangsaan (Melayu) terbantut. Walaupun jelas banyak masalah dan kekurangannya, seperti keperluan guru-guru terlatih, buku teks, bilik darjah; guru-guru Melayu terus mendesak pembentukannya. Ugutan guru-guru Melayu untuk keluar daripada UMNO beramai-ramai memaksa kerajaan melaksanakan penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan dengan segera (Straits Budget, Okt. 18, 1956).

Sekolah Menengah Kebangsaan (Melayu) ditubuhkan dan menjadi nukleus perkembengan pendidikan kebangsaan seterusnya. Perkembangan Sekolah Menengah Kebangsaan memang pesat berlaku. Buat pertama kalinya kanak-kanak Melayu berpeluang mendapat pendidikan menengah dalam bahasanya sendiri.

Kanak-kanak masih pergi ke sekolah yang berlainan menurut bahasa ibundanya. Sekolah Kebangsaan tidak begitu popular dalam kalangan murid-murid bukan Melayu.

Hakikat bahawa kana-kanak belajar di sekolah-sekolah yang berlainan tidak menjamin mereka mempunyai pandangan kebangsaan yang sama seperti yang diharapkan. Ini menyebabkan timbulnya Laporan Rahman Talib (1960), yang menjadi asas Akta Pendidikan 1961.

Tiada ulasan: